Print

Warkah Buat Perantau #2

Oleh: Rayyan Al-Firdausi


Assalamualaikum,

Emir, apa cerita kamu di Malaysia? Sepanjang saya di sini, banyak benda yang saya dengar telah dan sedang berlaku. Kebanyakkannya berkaitan politik. Saya kenal kamu, dan saya tak nak tahu fasal politik. Saya nak tahu fasal kamu.

Kamu tahu, saya sedang mengalami ‘masalah pelajar luar negara’. Saya hanya bercakap sesama pelajar Malaysia dan saya malu untuk berinteraksi dalam kelas melainkan kalau perlu. Saya juga sentiasa rasa seperti orang luar walau sebaik mana pun orang Amerika melayan saya. Saya rasa, selagi saya tak jejak kan kaki ke Malaysia, selagi itu saya tak akan jadi diri saya seratus peratus.

Kamu tahu, beberapa hari yang lepas, rakan sebilik saya bercerita tentang konsep ketuhanan. Oh, saya lupa nak beritahu yang saya duduk berlima di bilik di kampus. Seorang Hatim dari Gombak, seorang Evander dari Connecticut, seorang Damien dari New York dan seorang lagi Bruce dari Illinois. Evander seorang atheist, Damien penganut kristian protestan dan Bruce penganut kristian katolik.

Ceritanya begini: Evander bertanya kepada Damien dan Bruce mengenai kewujudan tuhan. Dia juga bertanya sama ada pengabdian diri pada tuhan lebih penting dari buat baik sesama manusia. Dia juga bertanya mengenai kepentingan belajar agama dengan belajar benda lain. Damien berusaha untuk jawab semua soalan cepumas Evander dengan bantuan Bruce. Cumanya, protestan dan katolik sangat berbeza sehingga mereka sendiri mengeluarkan pendapat yang bercanggah sesama mereka.

Evander pun apa lagi, terus dia serang perbezaan pendapat mereka berdua, menuntut jawapan logik akal dan mengutarakan pendapat dia sendiri yang anehnya diterima oleh Damien dan Bruce. Evander pandai mematahkan hujah sedang Bruce terkial-kial membela agamanya dan Damien pula diam membisu.

Begitu senang sebenarnya untuk saya memberi pendapat. Evander bertanya mengenai kewujudan tuhan; begitu banyak bukti yang boleh saya keluarkan. Evander bertanya mengenai pengabdian diri kepada tuhan atau berbuat baik sesame manusia lebih penting; dan Islam ada konsep hablu min Allah dan hablu min annas. Evander bertanya mengenai kepentingan belajar agama dengan belajar benda lain seperti perniagaan, penanaman serta pembinaan; Islam ada fadhu ain dan fardhu kifayah. Nampak tak betapa senangnya saya dan Hatim untuk menjawab soalan Evander?

Kamu tahu apa, Emir? Saya dan Hatim tak menyuarakan apa-apa pun dan itu yang paling saya kesalkan. Saya kaget. Saya nak mencelah tapi saya tak tahu cara. Maklumlah, saya ni bukan pembahas atau pemidato seperti kamu tu Emir. Cemburu saya dengan kamu. Lagipun, mereka bercakap dalam bahasa Inggeris. Hasilnya? Sampai sekarang saya rasa bersalah dan rasa terlepas peluang untuk berdakwah. Saya menyesal kerana membiarkan kesempatan yang ada tu, pergi begitu saja. Saya tak mampu untuk buat apa-apa dan saya tak nak hal ini berterusan. Tolong?

 

Sahabatmu,

Izzat


Waalaikumussalam,

Izzat, aku di sini sihat seadanya. Pelajaran mula mendaki cerun kepayahan namun masih tidak mampu menggoyahkan azam dan semangat. Ya, politikus dalam dan luar negara semakin mendapat nama di mulut ribuan jika bukan jutaan individu serata Malaysia tapi atas sebab permintaan kau, tidak akan aku pergi ke ceruk itu.

Aku terfikir, apa yang kau harapkan dengan hidup di negara orang? Adakah kau sangka yang perjalanan sehari-hari kau akan serupa dengan kehidupan yang kau lalui di tanah air? Aku tidak mampu untuk lakukan apa-apa melainkan berharap agar inti pati hati kau, Izzat, berdiri utuh mencabar segala adventur yang datang.

Izzat, cerita kau mampu menjadi tapak kepada usaha yang telah lama aku gerakkan. Kau ingat lagi Rahsia Pemidato? Aku ulang sekali lagi, rahsia seorang pemidato yang hebat ialah persiapan dan persediaan. Retorik yang hebat menjulang merupakan bonus dalam pertandingan. Kami hanya manusia biasa, yang acapkali berlatih bercakap penuh makna dan senantiasa cuba mematahkan hujah sendiri. Kami juga berusaha untuk mengumpul segala macam jenis ilmu agar kami mampu bercerita mengenai hampir segalanya.

Izzat, pemidato atau pembahas tidak lahir ke dunia ini dalam sekelip mata dan kata-kata mereka bukanlah sesuatu yang spontan. Pasti ada susur galur isi dan hujah serta idea-idea mentah bangkangan pihak lawan yang telah mereka persiapkan sebelum bersuara. Kebanyakkan mereka juga bercakap sesuatu yang ingin didengari oleh audiens.

Untuk membantu kau, aku sarankan kau rangka satu ‘perbincangan’ yang terperinci tetapi cukup umum agar boleh digunapakai dalam hampir semua situasi. Kau rangka ‘diskusi’ ini seperti kau rangka karangan Bahasa Melayu; punya pendahuluan, isi, contoh, penegasan serta penutup. Jangan pula kau alpa tentang keperluan kau membangkang isi kau sendiri supaya tidaklah kau terpinga-pinga bila pendengar kau menanyakan soalan-soalan cepumas. Harus kau ingat, mereka tidak pernah didedahkan dengan Islam.

Mungkin mereka akan bertanya tentang pandangan Islam terhadap wanita. Kenapa mereka berpakaian penuh kain sedangkan perkara itu tidak selesa? Kenapa mereka harus mendengar kata-kata suami? Benarkah mereka disekat dari pendidikan? Benarkah Islam tidak membenarkan ‘coupling’?

Kau perlu lakukan semua ini Izzat kerana kau tahu kau bukan pembahas, bukan juga pemidato. Maka, kau tidak biasa dalam percaturan perdebatan. Hasilnya, kau perlukan lebih masa untuk menyediakan diri secara fizikal dan mental agar bila masanya datang, kau tidak tergagap-gagap dalam membawa Islam. Kebanyakkan manusia ini pelik; sudah tahu tidak mampu, tidak pula mereka mengorak langkah bagi menjamin kekurangan mereka diatasi. Mereka hanya duduk diam dan membantah.

Jadi, aku rasa begini. Pertama, pembahas dan pemidato hanya manusia biasa yang telah melalui persediaan dan persiapan yang rapi bagi memastikan diri mereka kelihatan yakin dalam melontar hujah bernas serta meranapkan pembawaan pihak lawan. Bagaimana cara mereka bersiap siaga? Mereka berlatih dengan bercakap penuh makna dan berusaha mematahkan hujah sendiri. Mereka juga merangka ‘diskusi’ mereka dengan terperinci tetapi cukup longgar agar boleh digunapakai dalam hampir semua situasi. Ketiga, apabila sudah tahu tidak berkemampuan untuk mengeluarkan pendapat kritikal dalam sekelip mata, lakukanlah sesuatu agar kau kelihatan seperti sangat berkemampuan, bukan hanya duduk merungut.

 

Sahabatmu,

Emir

Print

Jom ke Spring Sister Gathering '13!

Assalamualaikum sisters! 

Inshaallah, MISG buat kesekelian kalinya akan menganjurkan sebuah program khas hanya untuk kaum hawa, iaitu SSG bagi tahun 2013.

Tema : Di Bawah Lembayung Al-Quran
Tarikh : 17 - 19 Mei, 2013
Hari : Jumaat - Ahad
Tempat : TBC (akan diumumkan kemudian)

Mari mendaftar: http://ks1.me/SSG2013

Moga Allah mudahkan urusan kita,
Moga Allah lapangkan masa kita,
Moga Allah ringankan badan kita,
untuk kita sama-sama duduk dan beriman sejenak.

"KEBENARAN itu dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali engkau termasuk orang-orang yang ragu." (Al-Baqarah, 2:147)

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Al-Fajr, 89:27-30)


Maklumat lanjut boleh didapati di:

https://www.facebook.com/events/511346362234203/

Subscribe MISG-net

Subscribe MISG-net
mailing list and
stay informed.
Click here.

Infaq to MISG

Send your generous
donation to thru PayPal.
misgonline13@gmail.com
Click here.

Like our Facebook Page!

Get up to date on our
events, and many more...
Click here.