| Antara Budaya dan Tauhid |
| Written by Ahmad Syafiq Ahmad Hazmi |
| Sunday, 29 March 2009 19:07 |
|
bismillah.. Antara Budaya dan Tauhid Bumi United States (US) ini diasaskan oleh pejuang-pejuang yang membela nasib diri masing-masing dari cengkaman pemerintahan yang zalim. Sejarah sudah terukir bahawa nation ini ditegakkan atas beberapa prinsip dan kebijaksaan mereka telah membawa negara ini jauh ke depan hari ini. Sejak kejadian sembilan-sebelas, beberapa respond telah kita rasai di sini. Kajian demi kajian telah menunjukkan konspirasi ini (izinkan saya anggap ia sebagai konspirasi) sebaliknya telah membuka mata hati rakyat negara ini kepada ajaran Islam. US ini dahulunya tidak memahami kalimah syahadah telah menjadi tempat berkembang ilmu-ilmu Islam pada hari ini. Bukankah US ini diasaskan oleh non-Muslim? Mari lihat apa yang Allah katakan: "Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya." [5:54]. Sesungguhnya Islam bukanlah dari konsep 'agama' yang sebahagian dari kita fahami hari ini. Ia bukan barangan yg boleh dibeli di walmart, dibuang setelah digunakan dan dicari semula apabila perlu. Ia bukan diwarisi oleh anak daripada ayahnya, dan ia bukan satu budaya baru yang memperkayakan budaya dunia hari ini semata-mata. Ia merupakan tinggalan permata baginda Rasulullah kepada alam ini semenjak kembalinya baginda kepada pencipta kita semua. kalimah "La ilaha illa Allah, Muhammadun rasulullah" merupakan satu rahmat yang tidak terhingga dari Allah kepada seluruh alam. "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." [21:107] Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah bukanlah ajaran baru. Ia merupakan penutup rantaian yang dibawa oleh para Anbiya yang tidak berputus asa menarik umat manusia dari jurang api neraka. Seharusnya kita rasa bersyukur dengan nikmat Islam yang kita ada pada hari ini. Semenjak Islam datang, ia tidak pernah menghapus budaya sesuatu kaum. Islam hanya menolak perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah. Mana-mana budaya yang selari dengan Islam dikekalkan. Islam menekankan arah tujuan sebenar kita berada di dunia ini. Perkara yang dibolehkan di dalam Islam telah jelas dan perkara yang dilarang juga telah terang. Sebarang perkara yang menggalakkan kepada perkara haram adalah haram tersendirinya. Kadang-kala tindakan kita yang merendah-rendahkan Islam merupakan satu penghinaan terhadap Allah swt dan Rasulullah. Baik kita pemimpin atau pengikut, kedua-duanya bakal dipersoalkan oleh Allah kelak. Kita selalu melebih-lebihkan perkara lain dan meletakkan Islam sebagai perkara akhir dalam keutamaan membuat keputusan. Kita mementingkan keseronokan dan mahu dilihat sebagai tidak rigid atau mahu dikenali sebagai Muslim yang so-called 'sederhana'. Malah ada juga yang mengetepikan prinsip Islam semata-mata mahu mengikut trend terkini yang kononnya bertamadun/moden. Itu fitrah manusia. Abu Lahab yang menentang mesej Islam kerana merasa dirinya moden dan tidak perlu ikut kata Maha Pencipta. Kita semua tahu apa kesudahan dia seperti yang dirakamkan dalam surah al-Lahab. Tanyalah diri masing-masing, wajar atau tidak ia berlaku dalam diri Muslim? Beza utama Islam dan agama lain adalah dari segi spiritual. Kita buat semua perkara kerana Allah semata-mata tetapi mereka yang lain membuat sesuatu perkara kerana manusia lain atau hawa nafs. Janganlah disebabkan kita terlalu mengejar hubungan dengan manusia (hablun minannas) sehingga hilang pertimbangan dan melupakan hubungan dengan Allah (hablun minallah). Kedua-duanya perlu kita jaga rapi. Fahamilah bahawa aspek Islam bukanlah setakat mendirikan solat, membayar zakat tapi ia perlu juga merangkumi kehidupan seharian. Seorang tokoh yang pernah bertugas di tanah jajahan Mesir dan Sudan telah mengatakan: "British bersedia memberikan kemerdekaan kepada semua tanah jajahannya, apabila wujudnya satu generasi intelektual yang telah diserapkan dengan budaya barat .., tetapi mereka tidak akan mengizinkan sama sekali tertubuhnya khalifah walau pun satu saat." [Lord Cromer] Kemerdekaan telah lama dicapai di nusantara, tetapi bagaimana pula dengan corak pemikiran kita? Berpandukan apa kita menilai sesuatu perkara? Adakah ianya al-Quran dan sunnah tinggalan Rasulullah? Atau ia merupakan acuan media massa (surat khabar, television, internet) yang belum pasti kesahihannya? Atau masih pemikiran yang bercampur-baur antara Islam dan anti-Islam? Saya menyeru kepada semua pelajar Muslim supaya kembali kepada ajaran sebenar Islam. Tiada apa yang kita kejarkan di dunia ini melainkan ia tempat ujian dari Allah. Memetik kata khalifah kedua Muslim: "Kita adalah kaum yang hina, kemudian Allah muliakan kita dengan Islam, barang siapa yang mencari kemuliaan selain dari apa yang Allah muliakan kita, maka Allah pasti menghina kita." [Umar Al Khattab] Rasulullah telah diutus untuk membaiki akhlaq kita. Dan Deen yang diterima oleh Allah hanyalah Islam. Janganlah berani mengaku Muslim jika perkara yang membatalkan wudhu' pun kita belum fahami sepenuhnya lagi. allahuallam, Ahmad Syafiq, Malaysian Islamic Study Group (MISG). |














